Showing posts with label nhf media. Show all posts
Showing posts with label nhf media. Show all posts

Friday, August 10, 2007

Rindu Padamu

Tajuk : Rindu Padamu
Penulis : Azian Zahra
Penerbit : NHF Media
Harga : RM22.90

Rasa benci yang tersemat, rupanya menyuburkan kasih di hati….

Kataku :
` Orang kata kita tak boleh terlalu benci pada seseorang sebab kelak kita akan menyanyangi orang tersebut begitulah sebaliknya…kita juga tak baik berdendam kerana dendam boleh membawa kepada kebinasaan.

` Itulah yang cuba disampaikan oleh Azian Zahra dalam karya terbarunya Rindu Padamu.

` Alia seorang gadis yang sombong dan dia benci pada Farhan, iaitu pekerja di pasaraya milik keluarganya. Pada dia Farhan adalah lelaki yang tak berpelajaran tetapi sebaliknya. Farhan bukanlah seperti yang disangka oleh Alia. Dia sebenarnya hanya berpura-pura tidak memiliki pelajaran yang tinggi semata-mata ingin bekerja di pasaraya milik keluarga Alia. Farhan sebenarnya mempunyai agenda yang tersendiri terhadap keluarga Alia.

` Penulis mengolah cerita dengan baik. Plot yang ditulis dengan teratur. Begitu juga dengan watak-watak yang diciptakannya. Penulis menggambarkan bahawa sikap sombong dan bongkak itu akhirnya boleh menjerat diri sendiri.

` Bagi peminat Azian Zahra jangan lupa dapatkan Rindu Padamu….

Saturday, May 12, 2007

Bertakhta Di Hati

Tajuk : Bertakhta Di Hati
Penulis : Marwati Wahab
Penerbit : NHF Media
Harga : RM19.90

Dalam dinginnya salji yang memutih, akukah sebenarnya yang telah menyalakan pelita?

Kekasih….
Teratak ini saksi segala…
Betapa dua hati pernah bersatu,
Tersimpul dalam ikatan sumpah setia,
Bagai Adam dan Hawa yang tak rela berpisah sebelum ajal.

Namun…
Keindahan itu sudah hilang serinya,
Sumpah itu juga hilang setianya dalam sekelip mata,
Dan…lagenda cinta Adam dan Hawa tidak terulangkan,
Musnah tanpa ada rebut dan taufan,
Hancur tanpa ada badai gelombang.

Tapi kini…
Teratak ini masih tetap menjadi saksi,
Betapa satu hati masih tertanya-tanya,
Mengapa diri ditinggalkan?
Sedang kesempatan membela diri tiada!


Khairunasrya (Rya) memperjudikan masa depannya dengan mengahwini Nadjmi Syahadat walaupun dia tahu kedua orang Nadjmi tidak merestui perkahwinan mereka. Rya bersyukur kerana akhirnya dia sah menjadi isteri kepada Nadjmi Syahadat. Namun, sangkanya panas hingga ke petang tetapi hujan di tengahari. Rya hanya sempat bergelar isteri dan menikmati manisnya bulan madu hanya 3 hari kerana Nadjmi tiba-tiba menghilangkan diri dengan hanya meninggalkan sepucuk surat. Rya bingun memikirkan sebab mengapa Nadjmi meninggalkannya tanpa sebab. Kesannya, Rya dihina dan dicerca. Keadaan menjadi bertambah sulit apabila, Rya ditakdirkan mengandung. Namun seakan mengerti keperitan yang bakal dilalui oleh ibunya, anak itu pergi meninggalkan Rya hanya beberapa saat sebaik dia dilahirkan. Rya cukup tertekan namun dia menerima apa yang terjadi sebagai takdir Allah. Setelah bertahun lamanya Nadjmi meninggalkan Rya, dia cuba untuk kembali dalam hidup Rya. Nadjmi menggunakan anak hasil perkahwinannya yang kedua untuk memikat hati Rya agar kembali kepadanya. Adakah Nadjmi berjaya? Mungkinkah Khairunasrya akan menerima kembali lelaki yang telah melukakan dan menghancurkan hatinya satu ketika dulu?

Kataku:
Ada kelainan dari novel beliau yang diterbitkan oleh salah sebuah syarikat penerbitan lain di Malaysia.

Gaya bahasa yang digunakan mudah difahami namun ketika membaca perlu berhati-hati sikit kerana penulis ada membuat ‘flash-back’. Kalau tidak, pembaca mungkin terkeliru. Sebuah cerita yang menarik. Menunjukkan tentang keegoan lelaki yang sanggup meninggalkan isteri demi wang dan harta. Sememangnya anak lelaki wajib mendengar kata ibu bapanya walaupun sudah berumahtangga namun lelaki yang bergelar suami itu juga seharusnya berkongsi masalah dan berbincang dengan isteri bukannya sewenang-wenangnya meninggalkan isteri yang sanggup memperjudikan masa depannya begitu saja lantaran hendak mengikut kata ibu bapa.

Ada nilai-nilai kekeluargaan yang diterapkan oleh penulis dalam novel ini. Seluruh keluarga Rya memberikan sokongan dan bantuannya kepadanya di saat dia menghadapi tekanan, hinaan dan umpatan orang kampung disebabkan dia ditinggalkan suami. Sebaiknya memang inilah yang harus dilakukan oleh setiap keluarga bukannya menghentam sehingga ahli keluarga mereka yang ditimpa musibah menjadi lebih tertekan.

Khairunasrya digambarkan oleh penulis sebagai seorang perempuan/wanita yang cekal dalam menempuh kehidupannya walaupun dia dicerca, dihina dan mengalami sedikit tekanan tatkala kehilangan anak yang dikandungnya. Dia berusaha untuk memajukan dirinya sendiri.

Sunday, May 6, 2007

Kau Yang Tercinta

Tajuk : Kau Yang Tercinta
Penulis : Nor Rafishah Md. Hassan
Penerbit : NHF Media
Harga : RM20.90

Kencana

Luka sekeping hati
Yang kau beri ini
Terpaksa aku rawat sendiri
Kau pergi
Bagaikan tak akan kembali


Naufal

Kini aku di sisimu
Membawa cinta, membawa rindu
Tapi kau membeku, membisu
Luka sekeping hatimu
Rupanya menjadi dendam yang memburu


Kaulah, yang paling aku cintai di dalam riwayat hidup ini…

Kepulangan Rashdan ke tanah air mendebarkan hati Kencana kerana dia tahu pastinya Rashdan mahukan jawapan kepada lamarannya terhadap Kencana sebelum dia ke luar negara dulu. Tetapi dalam masa yang sama Naufal tiba-tiba muncul. Kencana resah…hati tertanya-tanya mengapa Naufal perlu muncul diharapannya tatkala dia ingin melupakan terus lelaki itu. Namun Kencana tidak boleh menolak kehadiran Naufal kerana Naufal adalah ayah kepada kedua-dua anaknya, Yana dan Imad. Kencana buntu, tidak tahu siapa yang harus dipilih untuk menjadi teman hidup sekaligus menjadi pelindung dia dan anak-anaknya.

Siapa pilihan Kencana? Naufal yang telah melukakan hatinya satu ketika dulu atau Rashdan yang sentiasa mengambil berat dan menagih kasih Kencana?


Kataku :
Kau Yang Tercinta merupakan kesinambungan Luka Sekeping Hati namun yang demikian walaupun anda tidak membaca Luka Sekeping Hati anda masih boleh memahami Kau Yang Tercinta kerana Norra mengolah cerita ini seperti ianya bukan sambungan dari mana-mana novel sebelum ini. Seperti cerita Norra sebelum ni, dia lebih suka memfokus kepada banyak watak. Tidak terikat kepada satu watak dari mula hingga akhir. Contohnya, kita bermula dengan watak Kencana kemudian kita akan bertemu dengan Naufal, Rashdan, Suraya dalam bicara mereka sendiri. Aku kurang minat dengan cara begitu namun ianya tidak mengecewakan. Secara keseluruhan KYT memang istimewa. KYT juga mengajar kita supaya menjadi jujur dalam sesebuah perhubungan kerana sekiranya ada banyak perkara yang dirahsiakan, ia akan menjadi syak wasangka pada satu-satu pihak.

Bagi yang telah membaca dan mengikuti kisah hidup Kencana dan Naufal dalam Luka Sekeping Hati, anda mesti memiliki Kau Yang Tercinta Kerana anda akan bertemu dengan Rashdan dan juga kita akan tahu siapakah pilihan Kencana. Kita juga akan tahu, antara Naufal dan Rashdan, siapa yang akan terluka.