Friday, August 10, 2007

Belaian Jiwa

Tajuk : Belaian Jiwa
Penulis : Eka Fahara
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Harga : RM19.90

Ku tak jemu menanti mentari turun beradu tujuh hari seminggu asal kau di sisiku.


Pertemuan mereka dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Taipei telah membenihkan bibit-bibit cinta kasih sayang. Percintaan antara Alisya dan Hafizi berjalan dengan baik sehinggalah kemunculan Tengku Amnah. Pada ketika itu, barulah Alisya tahu bahawa Hafizi yang menjadi kekasih hatinya adalah anak orang berada. Dia marah pada Hafizi yang merahsiakan identitinya dan dia juga sedih kerana Tengku Amnah telah menghinanya seolah-olah dia hanya mahukan harta Hafizi hanya kerana dia anak yatim sedangkan dia sendiri tidak tahu siapa Hafizi yang sebenarnya. Alisya cuba untuk pergi dari Hafizi namun semakin dia cuba untuk melupakan Hafizi semakin dia mengingati jejaka itu…semakin dia ingin berlari jauh dari Hafizi semakin jejaka itu mendekatinya…dapatkah mereka menyulam kasih sehingga ke akhir hayat? Adakah hubungan mereka akan direstui oleh Tengku Amnah?

Kataku:
` Buah tangan ketiga Eka Fahara selepas Kabus Kasih dan Nilai Cintamu. Terus-terang aku katakana bahawa aku sebenarnya takut untuk membeli Belaian Jiwa (BJ) kerana takut ianya menghampakan aku. Aku pernah membaca dua novel penulis yang terdahulu dan apa yang aku baca betul-betul mengecewakan. Disebabkan kekecewaan terhadap novel yang lalu menjadikan aku takut untuk memiliki BJ namun sangkaan aku meleset kerana BJ masuk dengan jiwa aku. Ternyata penulis telah mempunyai pengalaman dalam menghasilkan novel ketiganya.

` Jalan cerita yang ringkas tetapi penuh dengan konflik..apa yang cuba disampaikan oleh penulis memang terjadi dalam dunia yang kita rasa dah moden ni. Masih ada ibu bapa yang mementingkan darjat dan keturunan..tak dinafikan sebelum menjalinkan sesebuah hubungan yang serius kita perlu tahu tentang latar belakang pasangan tapi tidak semestinya kalau pasangan kita datangnya dari keluarga yang susah, ia akan menjatuhkan maruah keluarga kita…begitu juga sebaliknya.

` Aku tak suka Tengku Amnah sebab dia rasa macam dia bagus..mentang-mentang dia keturunan bangsawan maka dia memandang hina pada Alisya hanya kerana Alisya tu anak yatim..apa dia ingat anak yatim tu jahat ke sampai nak rampas harta benda dia…mungkin dia terlupa bahawa kalau orang nak rampas harta, perempuan yang bukan anak yatim pun boleh rampas harta tu….

` Aku juga tak suka dengan watak Hafizi sebab dia tu ‘anak mak’..bukanlah maksudnya kita kena derhaka pada orang tua kita terutama ibu kita tapi biarlah kita tu berani buat keputusan..ini macam takut-takut je tapi nak juga pada Alisya….

` Watak Alisya tu bagus tapi ye la..perempuan, dalam keras masih ada lembutnya tapi aku ‘tabik’ dengan dia sebab dia berani meninggalkan Zahri pada hari pernikahan mereka sebab dia memang tak nak kawin dengan Zahri..Cuma silapnya Alisya, dia tak bagitau awal-awal pada Zahri dan ibunya yang dia tak cintakan Alisya..sebab dia lari masa hari perkahwinan, Zahri macam marah gila pada dia…

` Satu kelemahan yang aku rasa ketara ialah, siapa nama Hafizi yang sebenar? Dalam cerita Syed Danish Hafizi tapi dalam coretan penulis di tulis Danial Hafizi? Yang mana satu? Tapi itu tidak mencacatkan jalan cerita…

` Untuk peminat novel, buku ini menarik untuk dibaca dan juga boleh dibuat koleksi…

Kerana sayang, Tengku Amnah mahu memastikan yang Syed Danish Hafizi di sisi.

Kerana sayang, Alisya sanggup mengahwini Syed Danish Hafizi secara rahsia.

Rindu Padamu

Tajuk : Rindu Padamu
Penulis : Azian Zahra
Penerbit : NHF Media
Harga : RM22.90

Rasa benci yang tersemat, rupanya menyuburkan kasih di hati….

Kataku :
` Orang kata kita tak boleh terlalu benci pada seseorang sebab kelak kita akan menyanyangi orang tersebut begitulah sebaliknya…kita juga tak baik berdendam kerana dendam boleh membawa kepada kebinasaan.

` Itulah yang cuba disampaikan oleh Azian Zahra dalam karya terbarunya Rindu Padamu.

` Alia seorang gadis yang sombong dan dia benci pada Farhan, iaitu pekerja di pasaraya milik keluarganya. Pada dia Farhan adalah lelaki yang tak berpelajaran tetapi sebaliknya. Farhan bukanlah seperti yang disangka oleh Alia. Dia sebenarnya hanya berpura-pura tidak memiliki pelajaran yang tinggi semata-mata ingin bekerja di pasaraya milik keluarga Alia. Farhan sebenarnya mempunyai agenda yang tersendiri terhadap keluarga Alia.

` Penulis mengolah cerita dengan baik. Plot yang ditulis dengan teratur. Begitu juga dengan watak-watak yang diciptakannya. Penulis menggambarkan bahawa sikap sombong dan bongkak itu akhirnya boleh menjerat diri sendiri.

` Bagi peminat Azian Zahra jangan lupa dapatkan Rindu Padamu….

Kau Milikku

Tajuk : Kau Milikku
Penulis : Pitteriah Abdullah
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM17.90

“Semakin kuat aku ingin mengusirnya,
semakin juga dia datang memasuki hatiku”


Nurul Farhana terpaksa berkahwin dengan Ilham untuk menyelamatkan dia dan adiknya dari cengkaman anak-anak ibu tirinya. Namun perkahwinan yang disangka dapat memberikan sinar kebahagiaan itu rupanya hanya mengundang penderitaan. Ilham yang masih tidak dapat melupakan bekas isterinya sentiasa melepaskan geram dan kemarahan terhadap Nurul Farhana. Kehidupan Nurul Farhana semakin rumit apabila rahsia mengapa dia mengahwini Ilham terbongkar..

Kataku:
` Jalan cerita agak menarik tapi ada part-part yang agak bosan dan tak berapa nak masuk dengan jiwa..penulis memasukkan konflik-konflik rumahtangga, hubungan suami isteri dan kekeluargaan..ia mampu menarik minat pembaca untuk mengetahui apa yang terjadi selanjutnya tapi ada ketikanya terasa seperti jalan cerita berterabur..boleh kalau nak ‘lompat’ dari satu watak ke satu watak tapi rasanya ‘lompatan’ tu mesti ada kaitan dengan situasi yang sebelumnya la..takleh la main lompat-lompat macam tu je..novel ini boleh dibaca tapi bagi yang hendak menjadikan koleksi untuk dibaca berulang kali, pada aku kureng la..aku hanya mampu untuk baca sekali saja…

` semoga penulis menerima komen ini dengan hati terbuka dan dapat memperbaiki karyanya di masa akan datang…semoga maju jaya..

Hanya Dikau

Tajuk : Hanya Dikau
Penulis : Ebriza Aminnudin
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM19.90

Peristiwa pahit di hari pernikahan membuatkan Ira Fashua tidak mempercayai lelaki..baginya lelaki semua sama, sama seperti bekas tunangnya. Namun pertemuan Ira Fashua dengan Erze Zullis mengubah segalanya. Ira Fashua dan Erze Zullis bermusuhan lantaran tragedy yang berlaku semasa Ira Fashua menjemput sepupunya di lapangan terbang dan juga peristiwa semasa perkahwinan sepupunya itu. Permusuhan mereka diakhiri dengan perkahwinan namun segalanya menjadi sukar kerana Ira Fashua masih tidak mempercayai lelaki walaupun Erze Zulli sudah menjadi suaminya. Erze Zullis juga sentiasa berusaha untuk mengubah tanggapan Ira Fashua terhadap lelaki.

Kataku:
` Bagi aku Hanya Dikau (HD) lebih baik dari novel Kau Yang Tak Mengerti. Mungkin penulis telah membuat homework dan mengambil pengajaran dari apa yang berlaku ketika beliau menulis KYTM. Pada aku, penulis semakin bijak untuk mengolah cerita yang penuh dengan konflik. Konflik yang diciptakan antara Ira Fashua dan Erze Zullis mampu membuatkan aku untuk terus setia membaca sehingga ke muka surat terakhir.

` Cerita logic tapi masa part Ira dan Erze bergaduh masa persandingan Riana dan Ilham tu macam kureng je..mereka bergaduh seolah-olah takde orang disekeliling…hanya ada cameraman…sepatutnya buatlah yang ada orang menegur mereka bertelagah tu..ini pengantin je yang tegur.. lagi satu je, selalu dalam novel orang guna nama yang ringkas tapi HD menggunakan nama yang panjang…dua nama..jadi masa baca tu macam tak best je..kena sebut nama panjang-panjang..mungkin penulis memang suka nama panjang-panjang…

` Apa pun, aku geram dengan Erze dan juga Ira…angin je..pantang silap sikit..Cuma aku macam terkilan sebab masa Ira luahkan masalah dia pada Zaila dan Riana, diaorang tak sokong dia..memanglah Ira buat salah sebab abaikan tanggungjawab terhadap suami tapi aku rasa, sebagai teman dan sepupu, sekurang-kurangnya Zaila dan Riana tu bagilah sokongan pada Ira..ini bagi nasihat macam semuanya Ira yang salah…

` apa pun, HD adalah sebuah cerita menarik dan antara novel menarik yang dikeluarkan oleh Buku Prima.

Wednesday, August 8, 2007

iklan sekejap....

saya sekadar nak maklumkan tentang beberapa perkara buat pengunjung blog dunia novel....buat pengunjung yang meminta saya membuat review bagi beberapa buah buku harap bersabar ye sebab ada antara review yang diminta tu, saya belum pun baca bukunya dan kalau dah baca pun buku tersebut saya baca dah lama dan mungkin saya tak buat pun review tentang buku-buku tu jadi saya kena cari balik buku-buku tu dan baca dengan pantas untuk dapatkan balik apa cite tentang buku-buku tu..harap bersabar ya...untuk pengunjung, mungkin ada diantaranya penulis kepada buku-buku yang saya review, so saya minta maaf kalau ada yang terasa dengan komen yang saya berikan..saya just berikan pandangan saya tentang buku yang saya baca sebab saya rasa saya berhak sebab saya yang beli buku dan antara penyumbang kepada royalti yang diterima oleh penulis...takde niat apa-apa just nak berkongsi pendapat...

Sunday, August 5, 2007

Biar Rindu Berlalu

Tajuk : Biar Rindu Berlalu
Penulis : Sharifah Abu Salem
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Harga : RM19.90

Sanggupkah kau biarkan, sekuntum bunga resah terdampar di tepian pantai kasih?

Mengenalimu merupakan kenangan pahit dalam hidupku, namun ia juga adalah saat terindah yang tak mungkin dapat kutemui sampai bila-bila…

Kerinduan…ia indah, ia resah. Ia melukana, ia juga membahagiakan.

Kataku :
` Biar Rindu Berlalu (BRB) mengisahkan tentang kehilangan dan kesunyian, tentang kasih saying dan kekeluargaan, tentang cinta dan juga kemaafan.

` Aku pernah membaca Tak Seindah Mimpi, Gerimis Di Hati, Tak Semanis Impian, Pesona Rindu dan Tiada Lagi Mimpi. Sejujurnya aku kurang meminati karya SAS tapi aku mula jatuh cinta dengan karyanya setelah aku membaca Pesona Rindu kerana bagi aku Pesona Rindu masuk dalam kategori yang tak boleh letak…aku juga baca Tiada Lagi Mimpi tapi aku kurang berminat dengan cerita tersebut, sekadar membaca untuk mengetahui akhirnya saja. Namun, bila Biar Rindu Berlalu berada di kedai, aku tanpa ragu-ragu terus mengambilnya kerana gerak hati aku mengatakan bahawa BRB akan masuk dalam kategori yang tak boleh letak..wajib baca la maksudnya tu..dan selalunya gerak hati aku betul jadi aku membeli berdasarkan gerak hati….

` Aku puas membaca BRB sebab SAS mengolah watak dan jalan cerita dengan baik sekali. Bila aku mula membaca muka surat pertama aku dah dapat rasa yang aku tak boleh tinggalkan BRB sekerat jalan, aku mesti teruskan hingga ke penghujungnya….

` Konflik dalam BRB terjadi antara Nasrul dan Fatiha..konflik terjadi disebabkan Nasrul tak nak bagi ayah Fatiha (Khalil) mengahwini ibunya (Samirah) kerana pada firasat Nasrul, Khalil hanya inginkan harta ibunya sedangkan niat Khalil adalah sebaliknya. Permusuhan antara Nasrul dan Fatiha berpanjangan sehinggalah berlaku musibah ke atas Fatiha. Di saat itu Nasrul merasakan bahawa dia bertanggungjawab ke atas nasib Fatiha yang ditimpa musibah itu kerana dia yang adalah salah satu sebab Fatiha di timpa musibah.

` Watak-watak dalam BRB berjaya memainkan emosi aku. Aku dapat rasakan ada kalanya aku adalah Fatiha dan kadangkala aku adalah Nasrul. Tahniah buat SAS kerana berjaya memainkan emosi pembaca. Cuma apa yang membuatkan aku terkilan ialah penghujung cerita. Kenapa begitu? Mungkinkah SAS ingin menyambung BRB bahagian kedua seperti SAS menyambung novel Tak Seindah Mimpi sehingga menjadi 3 buah novel? Aku harap SAS akan sambung sebab aku kurang puas hati dengan ending BRB.

` Akhir sekali tahniah sekali lagi buat Sharifah Abu Salem kerana menghasilkan novel yang begitu baik. Tak sia-sia SAS berdiam diri untuk beberapa ketika..diamnya diam berisi…bak kata seorang teman, “otai ni lain..jalan cerita, gaya n lenggok bahasa lain”…maksud kawan aku ‘otai’ tu orang lama la..orang yang dah lama dalam bidang penulisan ni….

~Hidup ini tak seperti yang kita harapkan, Fatiha. Ketika kita mencari bahagia, ia seakan jauh meninggalkan kita. Tika kita ingin melupakan kedukaan, ia seolah-olah semakin kerap mengekori. Siapa kita untuk menolak setiap yang ditentukan-NYA? Siapa kita untuk berasa lebih kuat daripada DIA?
Ada waktu-waktunya, saya seperti tidak percaya melalui saat mendukakan itu. Mengenali awak merupakan kenangan pahit dalam hidup saya… namun di sisi lain, saya melihatnya sebagai saat terindah yang tak mungkin dapat saya temui lagi sampai bila-bila.
Begitu pun, menulis dan menyebut nama awak di kejauhan begini masih menjadi perkara terbaik yang tetap akan saya lakukan untuk selamanya. Moga ada waktu untuk kita bertemu… moga ada ruang untuk kita berbicara.
Salam untuk mama, papa dan adik-adik semua…
Nasrul, Wageningen University of Holland~

Kasih Dania

Tajuk : Kasih Dania
Penulis : Ayu Emelda
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Harga : RM19.90

Tak mungkin kau adalah rindu yang kutinggalkan kerna namamu sudah terukir di hatiku

Dyra Dania seorang gadis yang punya trauma cinta. Kelembutan dan keayuannya hilang ditelan kekecewaan lalu. Hatinya cuba bertahan sekeras batu daripada diseur naluri syahdu.

Amir Budreez hidup dikelilingi bunga-bunga kasih Dania. Meskipun wajah Dania sering bermain-main di tubir mata, namun nama Maria sentiasa meniti di bibir. Kata hati tidak pernah seiring dengan logic akal.

Maria seorang gadis misteri yang muncul dalam hidup Budreez dengan rahsia tersendiri. Dia bijak mengatur langkah dan mengemudi arah. Kehadirannya ibarat parasit yang menagih cinta. Cinta yang tidak pasti di mana destinasi akhirnya.

Dan kerana itu, ada hati yang tercalar, ada perasaan yang terluka dan ada jiwa yang menahan rasa.

Benarkah jarak waktu yang panjang mampu mengubah sebutir kaca menjadi permata berharga? Dan apakah segala ketetapan yang tersurat ini harus diterima tanpa wasangka?

Kataku :

` Kasih Dania (KD) mengisahkan Amir Budreez yang terpaksa berkahwin dengan teman baiknya sendiri iaitu Danny atau Dania. Dia terpaksa meminta Dania kawin dengannya kerana dia tidak mahu berkahwin dengan gadis pilihan ibunya iaitu Maria kerana kenangan silam. Semuanya berjalan lancar dan Dania cuba menerima Amir Budreez sebagai suaminya yang sebenar bukan setakat lakonan kerana perjanjian mereka asalnya mereka hanya berlakon untuk mengaburi mata ibu bapa Amir Budreez. Namun kehadiran Maria di saat Dania cuba menerima Amir Budreez sebagai suami merosakkan segalanya.

` KD sebuah kisah cinta kasih sayang dan dalam masa yang sama diselitkan dengan pergolakan persahabatan, kekeluargaan dan perkahwinan. KD juga ada unsur-unsur kemanusiaan seperti pengorbanan, kesetiaan dan kesabaran. Semua ni dapat dilihat pada watak-watak yang dicipta oleh penulis.

` Dania seorang gadis yang hilang identitinya tatkala dia berubah menjadi ‘tomboy’. Semua itu terjadi kerana dia terdera dengan cinta kasih yang terdahulu. Dia terpaksa menerima Amir Budreez lebih dari seorang teman sebaik saja mereka terpaksa bernikah.

` Amir Budreez seorang lelaki yang fobia dengan perempuan lantaran masa silamnya yang sentiasa di ‘dera’ oleh Maria. Dia cuba menjadikan Dania tempat untuk mengadu masalah seterusnya menjadikan Dania ‘mangsa’ untuk melepaskan diri tika ibunya memaksa dia berkahwin dengan Maria.

` Tika menyelami watak Dania atau Danny, aku akui bahawa memang ada perempuan yang begitu sekarang..banyak factor yang menyebabkan mereka menukar identity dan tidak mustahil mereka akan kembali menjadi diri mereka sendiri apabila mereka bertemu dengan seseorang yang mereka rasa dapat menyayangi dan melindungi diri mereka. Aku jadi kesian pada Dania bila Amir Budreez asyik mengungkit tentang budi yang dia tabor untuk Dania bila Dania tak nak tolong dia dan aku menjadi bertambah kesian pada Dania bila Amir Budreez menolak dirinya untuk Maria…geram juga…dah la orang tu bersusah payah berlakon depan mak ayah dia, dia senang-senang je nak tolak Dania bila dia tahu Maria dah jadi baik.

` Aku menyampah dengan Amir Budreez. Sebabnya dia tu macam pentingkan diri sendiri…pastu suka mengungkit..mentang-mentang dia pernah menabur budi pada Dania lepas tu bila Dania tak dapat tolong dia, dia marahkan Dania. Paling aku menyampah bila dia bercinta dengan Maria…dia tak nak dengar langsung nasihat Dania dan kawan-kawan yang lain supaya dia siasat betul-betul Maria tu, betul ke dia dah berubah…masa Dania beritahu dia tentang Maria, dia marahkan Dania..dia kata Dania cemburu…eii..ntah apa-apa je..orang tu nak buat baik kat dia…tapi aku suka sebab padanlah muka Amir Budreez tu bila dia tahu siapa sebenarnya Maria..

` Kesimpulannya kita kena hadapi apa juga yang berlaku dalam hidup kita dengan tabah dan sabar. Kita juga kena berterus-terang dalam sesuatu perkara..kita juga perlu kuat untuk menghadapi kenangan atau ketakutan silam.

` Tahniah buat Ayu Emelda. Bagi aku Kasih Dania lebih baik dari Lagu Rindu. Lagu Rindu agak kureng mungkin sebab itu adalah novel pertama beliau. Semoga Ayu Emelda akan terus menulis.

Senafas Rindu

Tajuk : Senafas Rindu
Penulis : Damya Hanna
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Harga : RM19.00

Meskipun berjauhan aku sentiasa dapat merasai getaran gemuruh di hatimu

TEGARKAH dia berdepan dengan kenyataan andai diri masih dihimpit kenangan lalu? Ke mana jua langkahnya dibawa, kisah duka yang pernah terpalit itu, amat sukar diluputkan dari ingatan. Tanpa kata-kata perpisahan, Shafika kabur daripada pandangan mata. Lantaran itu, jiwa Fariz terus lumpuh tak keruan.

Kataku :
` Senafas Rindu (SR) merupakan karya kelima Damya Hanna. SR juga tidak lari dari tema percintaan cuma yang membezakan SR dengan 4 novel Damya yang terdahulu ialah percintaan antara jejaka Melayu Islam dengan gadis yang berlainan kaum dan pegangan agamanya.

` Maaf aku pohon dari penulis dan pembaca serta peminat Damya kerana mungkin komentar aku agak ‘bisa’ tapi aku meluahkan apa yang aku rasa tika membaca SR. Saat membaca nama watak heroin dalam SR aku dapat merasakan bahawa gadis tersebut berlainan agama dengan jejaka yang menjadi hero sebab jarang sekali nama yang sedemikian digunakan oleh gadis melayu. Telahan aku ternyata benar tatkala Damya sendiri menyatakan bahawa watak heroin adalah bukan kaum melayu. Aku bukan prejudis terhadap mana-mana kaum tapi aku cuma kurang biasa membaca novel yang watak hero dan heroin nya berlainan bangsa..selama aku mebaca novel terutama novel cinta, kebanyakan penulis memilih watak hero dan heroin melayu kecuali SR dan partner novelnya BR. Tapi walaupun begitu, aku tak ada masalah untuk menghabiskan SR sehingga ke muka surat yang terakhir.

` Gaya bahasa yang digunakan adalah santai dan aku tak perlu hendak berfikir ‘teruk-teruk’ apa yang akan terjadi selepas satu-satu konflik yang berlaku tapi pada aku, aku lagi suka novel pertama dan kedua yang dihasilkan oleh Damya. Aku rasa dua novel tersebut lebih menyentuh hati berbanding SR dan dua novel sebelum SR. Apa sebabnya aku tidak pasti..mungkin penulis menulis cerita yang bagus tetapi bila diedit cerita tersebut jadi macam ‘kureng’ atau sebaliknya. Jalan cerita logic sebab memang begitu pun apa yang terjadi dalam kehidupan di alam reality. Tak semua percintaan menemui kebahagiaan dan tak semestinya percintaan itu penuh dengan penderitaan. Itu kenyataan yang harus diterima dan ending yang diciptkan menepati kehendak pembaca atau lebih tepat menepati citarasa aku.

` Tahniah kepada penulis kerana berjaya menghasilkan sebuah lagi novel. Aku tahu bukan senang hendak menghasilkan sesebuah novel. Teruskan perjuangan anda…

Wednesday, August 1, 2007

Ku Seru Kasihmu

Tajuk : Ku Seru Kasihmu
Penulis : Izzul Izzati
Penerbit : Kaki Novel Enterprise
Harga : RM19.00

Dari mana datangnya kasih? Dari mata turun ke hati. Dalam diam cinta itu hadir. Tanpa sedar rasa rindu berbunga jua akhirnya. Memiliki kasih Hakimi dari alam kampus hanyalah mimpi indah Afrina semata-mata. Menjadi milik Hakimi apatah lagi. Impian semakin jauh, lantaran jejaka idaman turut menjadi rebutan dua orang sahabat baiknya sendiri. Dia sedia mengalah, memberikan laluan dan ruang biarpun hati sendiri sakit memendam rasa kecewa. Bertambah menjerut rasa tatkala Hakimi menyambut baik cinta salah seorang daripada mereka.

Namun sejauh mana kasih yang bersemi dapat dihindari, biarpun dia cuba menjauhi. Sedangkan wajah Hakimi sentiasa hadir di ruang mata. Dugaan hadir tanpa dipinta, langsung tidak terlintas di fikiran. Musibah datang jua menimpa dia dan Hakimi. Suratan ataupun kebetulan? Sukar untuk ditafsirkan. Tetapi apa yang pasti, ada rahsia yang perlu diselindungkan. Ada cerita yang harus disembunyikan dan disimpan kemas daripada pengetahuan umum terutama kawan-kawannya. Kesulitan yang menjelma itu turut membuat Afrina tersepit antara diri, maruah keluarga dan sahabat baik sendiri. Hati siapakah yang perlu diutamakan? Hati siapa pula yang perlu dijaga? Kasihnya kepada Hakimi tidak boleh dibiarkan sepi. Cabaran Afrina, kasih Hakimi harus dimiliki dengan apa jua cara sekalipun. Namun relakah dia dikatakan sebagai “muka tembok” demi menyeru secebis kasih? Persoalannya…mampukah Afrina menyeru kasih Hakimi? Sedangkan cinta Hakimi tetap teguh kepada kekasih hati.

Dalam desiran rindu yang terpendam, ada seru membisikkan…Kaulah kekasih hingga ke akhirnya

Kataku:

` Seperti kebanyakan novel yang berada di pasaran, Ku Seru Kasihmu (KSK) juga tidak lari dari membicarakan soal cinta. Namun begitu, KSK agak berbeza dari novel tema cinta yang lain kerana KSK lebih menumpukan kepada hubungan persahabatan, serta pengorbanan seorang teman terhadap teman yang lain.

` Cara Izzul Izzati mengolah KSK benar-benar membuatkan KSK hidup. Tatkala membaca KSK, aku jadi simpati pada Afrina yang terlalu beralah ketika berhadapan dengan Hakimi tetapi dalam masa yang sama, aku geram dengan Afrina kerana sentiasa mengalah dan terlalu ingin menjaga hati orang lain tanpa memikirkan hati sendiri. Aku juga geram terhadap pada Hakimi yang aku kira seorang lelaki yang pengecut…marah dan menyampah dengan sikap Natasha yang pentingkan diri sendiri…aku rasa Izzul Izzati berjaya menghidupkan ketiga-tiga watak tersebut yang aku pasti mereka adalah watak utama dalam KSK.

` Keseluruhan jalan cerita, aku berpuas hati walaupun pada mulanya aku agak terkilan kerana endingnya tak sama dengan apa yang aku kehendaki tapi bila difikirkan semula…itulah kenyataan dalam kehidupan kita. Bukan semua yang kita harapkan akan kita dapat...kita juga kena akur bahawa setiap yang berlaku telah ditetapkan oleh Pencipta begitu juga dengan jodoh. Kalau sudah ditakdirkan bahawa lelaki/perempuan itu bukan jodoh kita, apa cara yang kita buat untuk dapatkannya pun tak akan jadi sebab itu bukan jodoh kita tapi kalau sudah ditetapkan bahawa itu adalah jodoh kita, apa juga yang kita buat untuk elakkannya atau kita tidak berbuat apa-apa tentangnya, ia tetap akan terjadi kerana memang jodoh kita.

` Kesimpulannya, KSK bukan sekadar sebuah novel cinta biasa tetapi ia juga diterapkan dengan nilai-nilai persahabatan dan kekeluargaan. Di saat-saat kita ditimpa musibah, pastinya keluarga yang akan membantu jadi jangan sesekali kita mengabaikan keluarga dalam apa juga perkara yang kita lakukan. Persabahatan juga penting kerana mungkin ada ketikanya kita memerlukan seorang teman atau sahabat untuk kita meluahkan perkara yang mungkin tidak boleh diluahkan kepada keluarga namun janganlah sampai persahabatan kita itu menyusahkan kita sendiri..jangan terlalu mudah untuk berkorban demi sebuah persahabatan kerana tidak semua pengorbanan itu dihargai.

` Tahniah untuk Izzul Izzati. Semoga Ku Seru Kasihmu akan menjadi ‘best-seller’ seperti mana novel pertama beliau Bukan Cinta Biasa. Teruskan menulis dan jadikan komen ini sebagai pembakar semangat untuk terus menghasilkan novel yang terbaik.