Tuesday, May 22, 2007

Gurindam Jiwa

Tajuk : Gurindam Jiwa
Penulis : Hlovate, Imaen & Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni
Harga : RM21.00

Jemari Seni membuat sedikit kelainan dengan menggabungkan 3 buah ceritera dalam sebuah Gurindam Jiwa. Cara begini jarang dibuat oleh pihak yang menerbitkan novel tapi pihak Jemari Seni melaksanakannya. Ada juga penerbit yang terbitkan kompilasi novel tapi itu untuk novel bagi penulis yang telah mempunyai beberapa novel sebelumnya dan dibukukan semula dalam bentuk kompilasi. Satu lagi, seingat aku, aku satu penerbitan yang pernah buat kompilasi begini tapi cerita yang sama ditulis oleh 2 penulis. Ternyata Jemari Seni membuat sedikit kelainan, menghasilkan kompilasi 3 ceritera baru yang tiada kaitan antara satu sama lain.

Tahniah kepada JS. Dengan cara ini sekurangnya-kurangnya ia memberi peluang kepada penulis yang menulis cerita lebih panjang dari cerpen tapi tak boleh nak buat satu buku yang tebal sebab jalan cerita dah tamat n no idea nak sambung. Membukukan ceritera mereka.

Doa dan harapan agar selepas ini pihak Jemari Seni akan terus menerbitkan buku-buku bukan sahaja novel yang menarik dan bermutu tetapi juga buku-buku masakan.


Ceritera I : Schubert’s Serenade – Hlovate

Scubert’s Serenade… lagunya penuh dengan kenangan. Dan dengan kenangan itu cerita ini ditulis.

ingatan untuk mereka yang pernah hadir dalam hidup saya
ingatan untuk mereka yang pernah bersama melalui ‘waktu itu’ bersama saya
ingatan untuk lagu-lagu yang pernah bertanda dalam hidup saya
ingatan untuk hari-hari yang pernah menjadi sebahagian dari hidup saya

mungkin lagunya sedih
mungkin ceritanya pun sedih
namun kenangan yang bertanda dalam diri saya,
yang datang bersama lagu ini…tiada sejarah dengan air mata.”

There could be beauty in tragedy, anyway


Walaupun baru pertama kali bersua, Ju’a terus melancarkan perang dengan Shah. Dia menganggap kehadiran Shah dalam keluarganya akan membataskan segala pergerakannya. Dia jadi rimas tatkala memikirkan bahawa dia perlu menutup aurat sepanjang masa terutama tika Shah ada di rumah. Bukan dia tidak suka mamanya berkahwin dengan Uncle Zainal tapi dia kurang senang dengan anak Uncle Zainal itu, Shah. Namun, Ju’a teruja apabila dia mendapat tahu bahawa dia dan Shah mempunyai minat yang sama, meminati muzik. Lalu, termeterailah perjanjian damai antara Ju’a dan Shah. Sejak itu, mereka betul-betul menjadi adik-beradik. Ju’a mula menerima dan menyayangi Shah sebagai abangnya dengan hati yang tulus. Namun, satu tragedy berlaku tatkala mereka berdebar menanti kedatangan ahli baru keluarga mereka. Shah dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan menemui Ju’a, Ucop, Uncle Zainal, mama & bakal ahli keluarga di hospital. Pemergian Shah turut membawa bersama kebahagiaan dan kegembiraan yang ada pada Ju’a selama ini. Ju’a tidak dapat menerima pemergian Shah, setiap sudut, setiap benda yang dilihat semuanya mengingatkan Ju’a kepada Shah yang amat dia saying. Bagaimanakah kesudahannya? Dapatkah Ju’a meneruskan kehidupan seterusnya menerima kenyataan bahawa Shah telah pergi meninggalkan dia dan keluarganya?

Shah ~ Kita kena selalu ingat… orang yang kita sayang sangat tu, sayang kita macam mana kita sayang dia. Diaorang pergi dulu bukan sebab tak sayang kita, tapi sebab Dia lebih sayang ayah Ju’a dengan mama abang. Lebih dari kita semua sayang diaorang. Lagi pun, sooner or later kita akan jumpa diaorang balik. Percaya dengan janji Tuhan, Ju’a. Nanti kita akan jumpa balik diaorang. Ju’a jumpa ayah Ju’a, abang jumpa mama abang. Sebenarnya tak sejauh yang kita fikirkan. Hanya dipisahkan oleh satu garis je. Life and death. Garisan tu je yang pisahkan kita. Dan doa tu penghubung paling kuat.

Ju’a ~ Nanti Ju’a nak jumpa abang jugak. Ju’a akan doakan abang.

Kataku:
Ceritera kedua dari Hlovate. Masih menggunakan gaya bahasa anak muda tetapi mudah difahami dan santai. Ayat-ayat yang disusun begitu indah dan betul-betul membuatkan kita ‘ada’ dalam ceritera itu. Cuma watak Ju’a yang agak kasar itu seakan ada persamaan dengan watak Ana (5 Tahun 5 Bulan). Hlovate begitu pandai memainkan perasaan pembaca. Aku menyelami watak Ju’a. Jadi, bila Ju’a marahkan Shah, aku turut rasa marah, bila Ju’a happy dengan Shah sewaktu mereka sama-sama memainkan lagu-lagu kegemaran mereka, aku juga happy, masa Ju’a tension sebab kena siapkan Add Maths dengan Shah, aku juga turut tension sebab aku tau macam mana rasanya membuat Maths atau Add Maths dalam keadaan ‘otak’ dah takleh terima dan aku turut menahan sebak tapi akhirnya menitiskan air mata tatkala Ju’a menerima berita Shah meninggalkan mereka buat selamanya. Mungkin aku ni sensitive sangat tapi memang aku sedih. Aku letakkan diri aku kat tempat Ju’a. Baru mula jatuh kasih dan sayang pada seseorang yang memang boleh dianggap abang yang paling sempoi, dia pergi meninggalkan kita. Sedih sungguh. Tahniah Hlovate. Saya doakan awak sihat dan akan tulis lebih banyak cerita.

Ingin mengenali Ju’a & Shah? Dapatkan segera Gurindam Jiwa. Pasti tak akan kecewa.

Ceritera II : Vendetta – Imaen

Dengan jari aku gali sedikit tanah di tepi nisannya, kukuburkan cincin itu di sisinya.

“Bukan bermakna aku sudah tidak menyayangimu lagi, sampai mati sayang, sampai mati! Aku tanam kerana aku ingin bersemadi di sebelahmu. Sedangkan apa yang bakal berlaku hari ini, aku sudah tidak pasti apakah nisanku nanti akan menjadi teman nisanmu. Hari ini adalah titik tanpa pulang lagi. Vendetta!.”

‘Aku’ menjadi seorang pendendam lantaran kematian isteri tercinta,Lia tatkala mereka berdua bergembira untuk menyambut hari ulangtahun kelahiran isterinya. Tidak mereka menduga bahawa kunjungan mereka ke kedai emas tersebut mengundang kematian dan kesedihan. Dia berusaha menjejaki perompak yang sekaligus menjadi pembunuh isterinya.

Kataku:
Muncul seorang lagi penulis thriller. Aku sebenarnya kurang menggemari cerita yang berunsur thriller tapi cerita thriller yang ditulis oleh Imaen ni menarik minat aku untuk membacanya. Cerita yang menarik walaupun baru pertama kali menulis. Imaen menulis ceritera ini dengan teliti sampai aku boleh bayangkan apa yang terjadi dan sebagainya cuma yang aku tak puas hati ialah watak ‘aku’. Aku tertanya-tanya nama ‘aku’ sebab nama orang lain ada. Nama isterinya, adiknya tapi namanya tiada. Mungkin sesetengah orang kata tak perlu nama tapi aku perlu tahu nama. Mungkin aku dah terbiasa bila baca novel, aku nak tahu nama watak-wataknya kemudian barulah kata ganti nama aku atau dia, ini terus-terusan aku. Ke nama ‘aku’ tu Vendetta? Aku tak faham tentang itu tapi yang pasti aku faham jalan ceritanya. Itu yang penting tapi aku harap for the next book, Imaen akan letakkan nama bagi watak utama dia dengan jelas supaya pembaca yang macam aku ni, bila baca rasalah puas hati sebab ada nama watak dengan jelas. Teruskan menulis dan aku tak sabar nak dapatkan novel Imaen yang seterusnya ; Labyrinth.

Ceritera III : Hati Andriyana – Noor Suraya

Hati Andriyana adalah sisipan kisah cinta ‘dia’ yang menyimpan seribu rahsia, ‘dia’ yang menyimpan seribu cerita, ‘dia’ yang ingin berkongsi sebuah rasa : Aliya dan Manjalara.

Dalam Gurindam Jiwa ini
Majalara bercerita tentang rahsia hatinya
Aliya melukis tentang rasa hatinya
lalu Fitri hadi akan mewarnakan citra pertama ‘dia’ di hatinya
Walau apa pun ceriteranya, di pena Noor Suraya:
Ku Fitri masih seorang ‘Qais untuk Lailanya’ dan Raden Andriyana…masih seorang puteri

Andriyana bermadah :

“Apa guna pasir setambun,
Kalau tidak setinggi duduk;
Apa guna kasih setahun,
Kalau tidak seumur hidup.”

Tahun 1922 yang ditinggalkan membawa suatu cerita baru dalam hidupku. Aku tidak pernah menyangka, beginilah catatan perjalanan hidup yang tertulis untukku daripada-Nya; sebuah jalan berliku yang penuh ranjau. Aku juga tidak pernah menyangka akan merantau jauh dari Tanah Bonda meninggalkan keratin ini ke Tanah Cinta. Lalu akhirnya aku kekal di Tanah Ratu.
: Raden Andriyana Daeng Ali


Kataku:
Ampun kak su. Sesungguhnya dalam banyak-banyak karya Kak Su, saya paling blur dengan Tanah Andriyana kemudian bila baca Hati Andriyana masih blur. Sebagaimana Tanah Andriyana yang saya baca dua kali begitu juga dengan Hati Andriyana, saya kena baca dua kali baru faham. Agaknya saya tak lulus bahasa sastera n seni kak su untuk TA & HA hehehehe

Untuk pengetahuan, Hati Andriyana adalah kembar kepada Tanah Andriyana yang juga ditulis oleh Noor Suraya tapi Tanah Andriyana diterbitkan oleh CESB.

Hati Andriyana menceritakan kepada semua bahawa keluarga Aliya & Hadi masih bermusuhan sedangkan mereka sebenarnya adalah bersaudara. Permusuhan antara kedua keluarga tu sudah lama dan seakan tersimpul mati lalu Aliya & Hadi cuba untuk membuka simpul mati itu agar terlerai. Hadi bersungguh-sungguh menjejaki salasilah keluarga mereka dengan harapan bahawa suatu hari nanti keluarganya dan keluarga Aliya akan bersatu dan tidak bermusuhan. Sekaligus dapat membersihkan nama moyang Aliya iaitu Raden Andriyana dari belenggu fitnah.

Seperti mana karya Noor Suraya yang lain, dalam HA juga ada pantun yang diselitkan. Bahasa yang digunakan oleh Noor Suraya juga sebenarnya mudah difahami tapi untuk aku, ia perlu dibaca dengan penuh ketelitian. Bahasa yang digunakan oleh Noor Suraya dalam HA begitu indah seperti mana TA. Aku kagum dengan cara Noor Suraya membuat salasilah keluarga Hadi-Aliya dan keturunan nenek moyang mereka dengan teliti. Bukan senang nak mencipta salasilah seperti itu namun Noor Suraya berjaya melakukannya. Cuma aku keliru n blur (macam aku bagitau awal-awal tadi) juga. Mungkin sebab ada nama Ku Fitri dan kemudian Fitri Hadi. Memang aku jadi blur..kalau sesapa yang baca lompat-lompat memang tak akan faham. Aku rasa ini macam taktik juga…sebab kalau orang baca lompat-lompat pasti tak faham jadi nak faham kena baca betul-betul. Satu pesanan aku, jangan tension-tension masa baca HA sebab kalau anda tension semasa baca HA anda akan jadi tak faham..hehehe..selamat menikmati buah tangan baru dari Noor Suraya. Bagi yang pernah baca Tanah Andriyana WAJIB baca Hati Andriyana kalau anda semua nak tahu apa kesudahannya. Kalau tak nak tahu suka hatilah nak baca ke tak.

p/s: yang pasti aku suka sangat dengan semua ceritera yang ada dalam Gurindam Jiwa ni...untuk ketiga-tiga penulis, teruskan menulis..saya sentiasa menyokong anda...

Saturday, May 12, 2007

Bertakhta Di Hati

Tajuk : Bertakhta Di Hati
Penulis : Marwati Wahab
Penerbit : NHF Media
Harga : RM19.90

Dalam dinginnya salji yang memutih, akukah sebenarnya yang telah menyalakan pelita?

Kekasih….
Teratak ini saksi segala…
Betapa dua hati pernah bersatu,
Tersimpul dalam ikatan sumpah setia,
Bagai Adam dan Hawa yang tak rela berpisah sebelum ajal.

Namun…
Keindahan itu sudah hilang serinya,
Sumpah itu juga hilang setianya dalam sekelip mata,
Dan…lagenda cinta Adam dan Hawa tidak terulangkan,
Musnah tanpa ada rebut dan taufan,
Hancur tanpa ada badai gelombang.

Tapi kini…
Teratak ini masih tetap menjadi saksi,
Betapa satu hati masih tertanya-tanya,
Mengapa diri ditinggalkan?
Sedang kesempatan membela diri tiada!


Khairunasrya (Rya) memperjudikan masa depannya dengan mengahwini Nadjmi Syahadat walaupun dia tahu kedua orang Nadjmi tidak merestui perkahwinan mereka. Rya bersyukur kerana akhirnya dia sah menjadi isteri kepada Nadjmi Syahadat. Namun, sangkanya panas hingga ke petang tetapi hujan di tengahari. Rya hanya sempat bergelar isteri dan menikmati manisnya bulan madu hanya 3 hari kerana Nadjmi tiba-tiba menghilangkan diri dengan hanya meninggalkan sepucuk surat. Rya bingun memikirkan sebab mengapa Nadjmi meninggalkannya tanpa sebab. Kesannya, Rya dihina dan dicerca. Keadaan menjadi bertambah sulit apabila, Rya ditakdirkan mengandung. Namun seakan mengerti keperitan yang bakal dilalui oleh ibunya, anak itu pergi meninggalkan Rya hanya beberapa saat sebaik dia dilahirkan. Rya cukup tertekan namun dia menerima apa yang terjadi sebagai takdir Allah. Setelah bertahun lamanya Nadjmi meninggalkan Rya, dia cuba untuk kembali dalam hidup Rya. Nadjmi menggunakan anak hasil perkahwinannya yang kedua untuk memikat hati Rya agar kembali kepadanya. Adakah Nadjmi berjaya? Mungkinkah Khairunasrya akan menerima kembali lelaki yang telah melukakan dan menghancurkan hatinya satu ketika dulu?

Kataku:
Ada kelainan dari novel beliau yang diterbitkan oleh salah sebuah syarikat penerbitan lain di Malaysia.

Gaya bahasa yang digunakan mudah difahami namun ketika membaca perlu berhati-hati sikit kerana penulis ada membuat ‘flash-back’. Kalau tidak, pembaca mungkin terkeliru. Sebuah cerita yang menarik. Menunjukkan tentang keegoan lelaki yang sanggup meninggalkan isteri demi wang dan harta. Sememangnya anak lelaki wajib mendengar kata ibu bapanya walaupun sudah berumahtangga namun lelaki yang bergelar suami itu juga seharusnya berkongsi masalah dan berbincang dengan isteri bukannya sewenang-wenangnya meninggalkan isteri yang sanggup memperjudikan masa depannya begitu saja lantaran hendak mengikut kata ibu bapa.

Ada nilai-nilai kekeluargaan yang diterapkan oleh penulis dalam novel ini. Seluruh keluarga Rya memberikan sokongan dan bantuannya kepadanya di saat dia menghadapi tekanan, hinaan dan umpatan orang kampung disebabkan dia ditinggalkan suami. Sebaiknya memang inilah yang harus dilakukan oleh setiap keluarga bukannya menghentam sehingga ahli keluarga mereka yang ditimpa musibah menjadi lebih tertekan.

Khairunasrya digambarkan oleh penulis sebagai seorang perempuan/wanita yang cekal dalam menempuh kehidupannya walaupun dia dicerca, dihina dan mengalami sedikit tekanan tatkala kehilangan anak yang dikandungnya. Dia berusaha untuk memajukan dirinya sendiri.

Surat Ungu Untuk Nuha

Tajuk : Surat Ungu Untuk Nuha
Penulis : Noor Suraya
Penerbit : Jemari Seni
Harga : RM20.00

Kecewa dengan perkahwinan Engku Faisal, Nuha membawa diri ke Kedah. Alasan yang diberi untuk tidak hadir ke majlis perkahwinan Engku Faisal ialah tiket ke utara sudah habis. Dalam perjalanan ke Utara itu, menaiki keretapi Senandung Malam, Nuha dipertemukan dengan Alang tetapi insiden yang berlaku dalam perjalanan tersebut membuatkan Nuha membenci Alang. Memang telah ditakdirkan bahawa Nuha dan Alang ada jodoh kerana mereke dipertemukan sekali lagi dan siapa sangka bahawa Nuha akan menyewa di rumah emak Alang, Mak Cik Raja.

Benci yang tersemai dalam diri Nuha sejak mula bertemu Alang menjadi semakin ‘mekar’ dek kerana usikan dan perangai Alanag terhadap Nuha dan semakin ‘membesar’ bencinya tatkala Nuha mengetahui bahawa Alang adalah sepupu kepada Engku Faisal. Benci Nuha semakin menjadi-jadi apabila dia mengetahui bahawa Alang terlibat dalam memperkenalkan Engku Faisal dengan Raniya.

Persengkataan antara Nuha dan Alang berterusan sehinggalah Alang ditimpa musibah hingga menyebabkan dia hilang penglihatan. Peristiwa itu menyebabkan Nuha berubah sikap. Sedikit demi sedikit dia cuba untuk berbaik dengan Alang dan dengan rela hati sudi menjadi mata Alang dan dalam masa yang sama, Alang juga seakan-akan terpikat dengan Nuha.

Adakah Nuha akan menerima cinta Alang? Dapatkah Alang melihat semula? Apakah kesudahan Surat Ungu Untuk Nuha?

Kataku :
SUUN hanya sebuah kisah cinta yang biasa tapi digarap dengan begitu santai dan istimewa oleh Noor Suraya. Cara garapan Noor Suraya membuatkan aku betul-betul dapat menyelami hati Nuha & memahami hati Alang. Aku dapat rasakan kepedihan dan rasa jauh hati Nuha terhadap Faisal, aku senyum dan ketawa sendiri bila terbayang Alang yang jatuh ke dalam kolam, aku terasa sakit bila Alang merintih sakit semasa pergelangan tangannya dijahit halus oleh Nuha, aku turut merasa sedih bila Alang kehilangan penglihatannya, aku kagum dengan Nuha yang sanggup menjadi ‘mata’ Alang tatkala mengarang puisi-puisi. Kesimpulannya aku seolah-olah merasai apa yang dialami oleh Nuha dan Alang. Begitu berkesan gaya penulisan Noor Suraya.

Nilai murni yang paling penting yang diterapkan oleh Noor Suraya dalam SUUN ialah jangan terlalu sukakan seseorang kerana belum tentu dia jodoh kita dan bila kita terlalu sukakan seseorang, sekiranya kita dilukai, lukanya terlalu sukar untuk sembuh jadi sebaiknya kita menyukai seseorang itu seadanya. Kita juga tidak boleh terlalu membenci seseorang kerana mungkin juga seseorang yang kita benci itu adalah jodoh yang terbaik buat kita. Jadi berfikirlah dahulu sebelum kita menyukai atau membenci seseorang.

Bagi peminat novel, jangan lupa dapatkan Surat Ungu Untuk Nuha sebagai koleksi novel anda. Bagi yang mengikuti dan ‘melihat’ Surat Ungu Untuk Nuha (versi e-novel), jangan lepaskan peluang untuk ‘memegang’ Surat Ungu Untuk Nuha (versi cetak).

Sunday, May 6, 2007

Kau Yang Tercinta

Tajuk : Kau Yang Tercinta
Penulis : Nor Rafishah Md. Hassan
Penerbit : NHF Media
Harga : RM20.90

Kencana

Luka sekeping hati
Yang kau beri ini
Terpaksa aku rawat sendiri
Kau pergi
Bagaikan tak akan kembali


Naufal

Kini aku di sisimu
Membawa cinta, membawa rindu
Tapi kau membeku, membisu
Luka sekeping hatimu
Rupanya menjadi dendam yang memburu


Kaulah, yang paling aku cintai di dalam riwayat hidup ini…

Kepulangan Rashdan ke tanah air mendebarkan hati Kencana kerana dia tahu pastinya Rashdan mahukan jawapan kepada lamarannya terhadap Kencana sebelum dia ke luar negara dulu. Tetapi dalam masa yang sama Naufal tiba-tiba muncul. Kencana resah…hati tertanya-tanya mengapa Naufal perlu muncul diharapannya tatkala dia ingin melupakan terus lelaki itu. Namun Kencana tidak boleh menolak kehadiran Naufal kerana Naufal adalah ayah kepada kedua-dua anaknya, Yana dan Imad. Kencana buntu, tidak tahu siapa yang harus dipilih untuk menjadi teman hidup sekaligus menjadi pelindung dia dan anak-anaknya.

Siapa pilihan Kencana? Naufal yang telah melukakan hatinya satu ketika dulu atau Rashdan yang sentiasa mengambil berat dan menagih kasih Kencana?


Kataku :
Kau Yang Tercinta merupakan kesinambungan Luka Sekeping Hati namun yang demikian walaupun anda tidak membaca Luka Sekeping Hati anda masih boleh memahami Kau Yang Tercinta kerana Norra mengolah cerita ini seperti ianya bukan sambungan dari mana-mana novel sebelum ini. Seperti cerita Norra sebelum ni, dia lebih suka memfokus kepada banyak watak. Tidak terikat kepada satu watak dari mula hingga akhir. Contohnya, kita bermula dengan watak Kencana kemudian kita akan bertemu dengan Naufal, Rashdan, Suraya dalam bicara mereka sendiri. Aku kurang minat dengan cara begitu namun ianya tidak mengecewakan. Secara keseluruhan KYT memang istimewa. KYT juga mengajar kita supaya menjadi jujur dalam sesebuah perhubungan kerana sekiranya ada banyak perkara yang dirahsiakan, ia akan menjadi syak wasangka pada satu-satu pihak.

Bagi yang telah membaca dan mengikuti kisah hidup Kencana dan Naufal dalam Luka Sekeping Hati, anda mesti memiliki Kau Yang Tercinta Kerana anda akan bertemu dengan Rashdan dan juga kita akan tahu siapakah pilihan Kencana. Kita juga akan tahu, antara Naufal dan Rashdan, siapa yang akan terluka.

Wednesday, May 2, 2007

Seindah Rahsia

Tajuk : Seindah Rahsia
Penulis : Afiqah Farzana
Penerbit : Buku Prima
Harga : RM17.90

Sri Atiya terpaksa berkahwin dengan tunang kakaknya, Anuar demi untuk menyelamatkan maruah keluarga setelah kakaknya, Atira lari disaat-saat akhir perkahwinannya dengan Anuar. Kehidupan Sri Atiya dan Anuar menjadi kacau bilau kerana salah sangka Anuar. Akhirnya talak tiga dilafazkan oleh Anuar kepada Sri Atiya. Dalam masa yang sama, Sri Atiya diburu oleh Ilham, lelaki yang dikenali melalui sms dan Hadi, lelaki yang dikenali secara tidak sengaja. Dia menjadi serba salah tatkala Hadi melamarnya kerana dalam masa yang sama dia begitu mengharapkan kehadiran Ilham yang dirasakan sentiasa dekat dihati. Tidak tahu hendak memilih siapa. Ilham atau Hadi.

Kataku :
Tak pasti sama ada penulis ni pernah menghasilkan buku sebelum ini atau ini buku yang pertama. Jalan cerita menarik cuma ada beberapa persoalan yang muncul difikiran semasa membaca SR.

1. Penulis tidak menyatakan bagaimanakah Ilham mendapat nombor telefon Sri Atiya. Tau-tau dah berbalas sms je…

2. Penulis tak bagitau masa bila Hadi mendapat gelaran Datuk. Tiba-tiba masa makan kat hotel, orang-orang kat situ panggil dia ‘Datuk’.

3. Macam pelik je bila seorang isteri tak tahu tentang latar belakang suami. Tak tau nama penuh suami dan tak pernah tahu suami dah ada gelaran ‘Datuk’. Tak berapa nak logik untuk hal-hal macam tu.

Cinderella Cinta

Tajuk : Cinderella Cinta
Penulis : John Norafizan
Penerbit : CESB
Harga : RM23.90
Bahagian I

Aku akan pergi,
Menjejak mimpi,
Walau dalam duri,
Aku tidak akan berhenti….

Pendakian ini,
Sudah tiada serinya lagi,
Namun akan kugagahi,
Walau tanpa engkau di sisi….

Bahagian 2

Maafkan aku pelangi,
Aku mungkin tidak dapat terbang kepadamu dewi,
Mengira jalur harapan dan setiap mimpi,
Seperti hari itu…

Maafkan aku pelangi,
Kau tidak tersalah mengerti,
Cuma aku yang bermain dengan hati,
Lalu terjerat dan tidak mampu ke tepian lagi…

Bahagian 3

Di pantai sepi,
Aku mengutip pilu,
Memanggil kau dengan cinta yang pergi…

Namun pantai ini,
Kejam membisu,
Dan kenangan lalu,
Tetap tidak kembali…

Bahagian 4

Ke mana lagi,
Untukku tuju,
Bertanya tentang kau dan seribu janji…

Aku bertanya pada diri,
Pada waktu dan laut biru,
Tidak mungkinkah rindu,
Bertaut kembali?

Bahagian 5

Sendu itu milik aku,
Yang akan kubawa seluruh nafas lesu,
Selamanya terpaku,
Dalam diri yang merindu…

CC mengisahkan Lara Mia yang bertugas sebagai sukarelawan Mercy Manchester yang ingin ke Pakistan sebagai sukarelawan dan dalam masa yang sama ingin mencari kekasih hatinya (Edri) yang menghilangkan diri setelah pergi ke Pakistan. Dia yakin dengan cintanya dan dia yakin Edri akan kembali walaupun temannya, Victor Adam mengatakan bahawa Edri tidak akan kembali. Dalam masa yang sama Victor Adam menyintai Lara Mia namun Lara Mia menolak kerana cintanya pada Edri terlalu kuat walaupun Edri telah menghilangkan diri.

Semasa di Pakistan, Lara Mia menempuh pelbagai dugaan namun dia tabah dan cekal demi untuk mencari kekasihnya. Kepada orang yang ditemuinya dia bertanya sama ada mereka mengenali Edri atau tidak. Namun jawapannya tidak seorang pun yang mengenali Edri. Lara Mia hampir kecewa namun harapannya kembali berbunga tatkala dia menemui seorang lelaki yang mengenali Edri.

Apakah kesudahannya? Dapatkah Lara Mia menemui kekasih hatinya?

Kataku :
Ceritanya ada kelainan walaupun masih ada tema percintaan sebab tema percintaan dan kasih sayang memang tak dapat dielakkan. Elemen kasih sayang dan prihatin terhadap nasib manusia lain yang kurang lebih memerlukan bantuan diterapkan dalam karya JN. Aku suka dengan watak Lara Mia yang keras hati seperti yang dihasilkan oleh JN. Susah nak ada perempuan yang betul-betul keras hati dan tekad macam Lara Mia…kalau ada pun dalam bilangan yang sedikit. Jalan cerita baik cuma kadang-kadang terkeliru..mungkin disebabkan pecahan bahagian yang dibuat oleh JN. Diikuti pula dengan 2 epilog di akhir cerita. Namun apa pun, aku berpuas hati dengan karya terbaru JN. Bagi yang meminati karya tulisan penulis lelaki, Cinderella Cinta pasti dapat menarik minat anda.